09 June 2012

andai itu takdir-NYA ~ :')


Andai itu takdirnya terimalah seadanya. Sudah tentu terselit hikmah disebalik musibah. Cuba kita perhatikan bunga mawar yang mekar kemerahan, sungguh cantik. Namun awas durinya mampu melukakan kita. Begitulah setiap yang indah bukannya mampu diraih dengan mudah namun perlu meredah berbagai belantara, gunung perlu didaki lurah perlu dituruni. Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya?

Kadangkala kita sering lupa bahawa kita hanyalah hamba di bumi tuhan.Tidak layak kita membantah takdirnya. Namun kekadang tersungkur jua. Hati dalaman membentak ganas. "Mengapa tuhan?" Jika begitu cepat-cepatlah kembali kepada fitrah. Kita hanyalah seorang hamba tumpangan yang singgah sebentar menyemai amal untuk hari yang dijanjikan tuhan.



Andai kita diuji dengan kematian orang yang kita sayangi, jangan terlalu bersedih doakanlah untuknya. Sampai masa kita pula menyusul.

Andai kita diuji dengan sebuah perpisahan, yakinlah jika kita tidak berjumpa di dunia. Insya-Allah di syurga yang kekal abadi.

Andai kita diuji dengan kemiskinan bersyukurlah kita masih lagi mampu bernafas di bumi tuhan. Jadi banyakkanlah amal supaya kita kaya di sana.

Andai kita diuji dengan kesusahan janganlah goyah. Sahutlah cabaran dengan hati yang gagah kerna itu yang mendewasakan kita dalam musafir panjang.